Lencana Jayadiri Pengakap Remaja : Fungsi Parlimen

Spread the love

Pilihan raya umum yang pertama telah diadakan pada bulan Julai 1955, dengan Parti Perikatan memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Pada awal tahun 1956 satu persidangan telah diadakan di London untuk membincangkan tentang kemerdekaan Malaysia. Pada bulan Mac 1956 sebuah suruhanjaya bebas yang diketuai oleh Lord Reid telah ditubuhkan untuk membincangkan tentang perlembagaan. Suruhanjaya ini dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Suruhanjaya ini bertugas menggubal Perlembagaan Tanah Melayu berasaskan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan model-model perlembagaan negeri dari India, Amerika Syarikat dan Negara-negara lain. Suruhanjaya ini telah memutuskan untuk membahagi kuasa itu kepada tiga bahagian iaitu perundangan, pemerintahan dan kehakiman. Suruhanjaya ini telah menganggap bahawa perundangan adalah sebagai punca tenaga kerajaan dan pusat kuasa Negara.

Kuasa perundangan persekutuan terletak pada Parlimen yang terdiri daripada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Dewan Negara mengandungi ahli-ahli yang dipilih dan dilantik seperti yang berikut;

i. Dua orang ahli bagi setiap negeri.
ii. Dua orang dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang dari Wilayah Persekutuan Labuan, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
iii. Empat puluh orang yang di lantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ialah orang yang pada pendapat baginda telah berbuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai kepujian dalam bidang professional, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan atau perkhidmatan masyarakat atau mewakili kaum-kaum yang kecil bilangannya atau orang asli. Tempoh jawatan bagi seseorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan tempoh ini tidaklah terbatal oleh pembubaran parlimen. Seseorang ahli Dewan Negara tidak boleh memegang jawatan lebih daripada dua tempoh sama ada secara terus-menerus atau selainnya.

Ahli Dewan Rakyat dipilih melalui satu pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat (parlimen) akan mewakili satu kawasan Dewan Rakyat (parlimen). Biasanya bilangan ahli parlimen yang mewakili setiap negeri tidak sama di antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Dewan Rakyat berfungsi selama 5 tahun dari tarikh mesyuarat pertama dilakukan, melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu. Apabila Dewan Rakyat dibubarkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.
Antara fungsi parlimen ialah;


i. Kuasa Perundangan Parlimen
Peranan utama parlimen ialah membuat undang-undang. Perkara 44 dalam Perlembangaan Persekutuan memperuntukkan bahawa kuasa perundangan Persekutuan terletak pada parlimen. Perkara 66 pula menerangkan tatacara membuat undang-undang manakala Perkara 159 memberi kuasa kepada parlimen untuk meminda Perlembangaan jika berkehendakkan sedemikian. Kebanyakannya dengan kelebihan suara dua pertiga.

ii. Kewangan
Hanya Parlimen sahaja mempunyai kuasa untuk mengenakan cukai atau kadar. Pemerintah tidak mempunyai kuasa mengenakan apa-apa cukai. Perkara 96 memperuntukkan bahawa tiada apa-apa cukai atau kadar boleh dikenakan oleh atau bagi maksud-maksud Persekutuan kecuali dengan atau di bawah kuasa undang-undang Persekutuan. Prinsip yang menjadi asas kawalan kewangan parlimen ialah doktrin yang menyatakan bahawa parlimen ialah penyimpan wang orang ramai. Fungsi ini amat penting oleh kerana ia membolehkan parlimen untuk menggunakan suatu bentuk kawalan ke atas pemerintah, menerusi perbincangan dalam masa perbahasan belanjawan.


iii. Perundangan dan Perbincangan
Biasanya parlimen melibatkan diri dalam perundangan dan perbincangan terhadap isu-isu orang ramai yang penting. Ini selalunya dilakukan melalui undang-undang, kawalan kewangan awam, perdebatan atas titah ucapan diraja dan waktu soal jawab.

iv. Kawalan terhadap Pemerintah
Dalam apa-apa bentuk kerajaan berparlimen sekalipun, pemerintah adalah lebih rendah daripada pihak berkuasa perundangan dan bertanggungjawab kepadanya. Fungsi terpenting parlimen ialah mengawal pemerintah dan menyelia pentadbiran dan mempengaruhi dasar-dasar kerajaan.

v. Kuasa Pemindaan
Pemerintah mencadangkan pindaan dibuat kepada perlembagaan, dan parlimen berhak menerima atau menolaknya. Bagaimanapun pada amalanya, parlimen akan menerima cadangan tersebut. Dalam perkara 159, ada peruntukkan bahawa parlimen diberi kuasa untuk meminda perlembagaan dari semasa ke semasa. Bagaimanapun terdapat had batasan tertentu tentang pindaan kepada Perkara 10(4), 14-31, 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, 153, dan 159(5) iaitu perkara ini tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

vi. Kuasa Urusan
Perlembagaan membenarkan parlimen untuk mengkanunkan undang-undang yang perlu untuk mengadakan peruntukan tentang penyelenggaraannya sendiri dan memberi kuasa kepada parlimen untuk membuat tatacaranya tersendiri.

vii. Kuasa Menghukum kerana Menghina
Untuk membolehkan parlimen menyelenggarakan tanggungjawab dengan sepenuhnya serta berkesan, maka perlembagaan memberi beberapa hak dan perlindungan undang-undang yang merupakan keistimewaan parlimen. Dalam Perkara 63, keistimewaan parlimen atau mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah, tiada seorang pun boleh didakwa dalam apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah tentang apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya apabila mengambil bahagian dalam apa-apa perjalanan mana-mana Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya. Tiada seorang pun boleh didakwa dalam apa jua pembicaraan dalam mana-mana mahkamah tentang apa jua yang disiarkan dengan atau di bawah kuasa mana-mana Majlis Parlimen.

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *