Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM)

Spread the love

Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia atau nama ringkasnya KLKM adalah terdiri daripada gabungan kumpulan – kumpulan pengakap Kelana yang ditubuhkan diinstitut pengajian tinggi di Malaysia. Ia bertaraf sebagai sebuah negeri di bawah Persekutuan Pengakap Malaysia. Keahlian kumpulan ini terdiri daripada pelajar – pelajar pengajian tinggi berumur 18 tahun keatas dari Universiti Awam, IPTA, IPTS, Kolej – kolej swasta, Politeknik serta Kolej Komuniti di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Jumlah keahlian KLKM kini mencecah seramai 6,000 orang dari 24 Daerah KLKM yang aktif.

Organisasi KLKM di Negeri serta setiap Daerah atau kumpulan dibawahnya  ditadbir dengan sistem yang sama dengan peringkat di atasnya dan tertakluk dibawah sistem dan undang-undang pentadbiran yang sama seperti PPM Negeri yang lain. Konsep program – program yang dilaksanakan adalah terdiri daripada kepimpinan, perkhidmatan, kesukarelawanan dan lain-lain lagi untuk membentuk jati diri dan nilai tambah setiap ahli setelah melangkah ke alam pekerjaan. Kejayaan persatuan KLKM yang terkini adalah berjaya melahirkan 160 penerima Baden Powell Award dan 200 pemegang Manikayu 2 butir (Unit Pengakap Kelana).

SEJARAH PENUBUHAN KLKM

Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) telah ditubuhkan pada tahun 1987 dengan nama awalnya ialah Kumpulan Latihan Pemimpin Pengakap (KLPP). Dianggotai oleh seramai 28 orang ahli pengakap yang terdiri daripada siswa-siswi dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Penubuhan KLPP adalah cetusan ilham daripada Prof. Dato Dr. Kamaruddin bin Kachar (kemudiannya memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara), Dekan Fakulti Pendidikan UPM.) Dan penubuhan KLPP telah dirasmikan oleh mantan Ketua Pengakap Negara, Datuk Amar Dr. Sulaiman bin Haji Daud iaitu Menteri Pelajaran pada ketika itu. Majlis perasmian telah diadakan di Kampus Induk USM di Pulau Pinang pada 19 Jun 1988.

Pada tanggal 29 April 1989, KLPP telah bertukar nama kepada Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM). Sehubungan dengan penukaran nama tersebut, satu jawatankuasa pentadbiran yang dikenali sebagai Sekretariat Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (Sekretariat KLKM) telah ditubuhkan. Dan pada tahun 2010, selepas penstrukturan semula organisasi KLKM, maka secretariat telah ditukarkan nama kepada Majlis Pengakap Negeri KLKM. Sesuai dengan peredaran masa, apabila jawatan Pesuruhjaya Pengakap Negeri juga telah ditukarkan namanya oleh Persekutuan Pengakap Malaysia pada tahun 2010, maka jawatan itu kemudiannya dikenali sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri.

Prof. Madya Dr. Abdul Rashid bin Mohammad, PJK.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri

Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM)

Institusi Pengajian Tinggi Awam & Swasta Malaysia

Post navigation