Persekutuan Pengakap Malaysia : Penubuhan Dan Pentadbirannya

Spread the love

Rumah – BP

Jalan Hang Jebat
50150 Kuala Lumpur, Malaysia
Telefon :03-2078 0836

DI MALAYSIA pergerakan pengakap bermula dua tahun selepas ia diasaskan di London. Sungguhpun begitu, dipercayai bahawa satu pasukan percubaan telah dimulakan di Pulau Pinang pada tahun 1908, iaitu tahun pengakap ditubuhkan di England, Dipercayai juga bahawa di Selangor permulaan pengakap secara percubaan dijalankan pada tahun 1900,, tetapi tidak bergerak cergas sehingga tahun 1926.

Kumpulan pengakap yang pertama mengandungi 30 orang ahli telah ditubuhkan di Singapura pada tahun 1910 oleh F.C. Sands, seorang pemimpin pengakap dan pendidik yang terkenal dari Nottingham, England yang ditugaskan di situ. Sejak itu pengakap telah menarik perhatian kedua-dua golongan, belia dan orang dewasa di Negara ini dan telah merebak dari sebuah negeri ke negeri lain.

Kumpulan pengakap yang pertama bagi anak-anak Melayu yang tahu berbahasa Inggeris telah ditubuhkan di Singapura pada tahun 1919 di bawah pimpinan Kapten N.M. Hashim dan A.Z. Alsagoff. Perkembangan pergerakan pengakap di Negara ini mengikut negeri ialah : Pahang 1912, Sabah 1913, Pulau Pinang dan Sarawak 1915, Perak 1920, Kedah dan Perlis 1922, Melaka dan Negeri Sembilan 1925, Selangor dan Terengganu 1926, Kelantan 1927 dan Johor 1928.

Penubuhan pengakap di Malaysia telah dilakukan oleh para pegawai Inggeris sama ada dari pegawai pentadbiran atau para pendidik. Di setengah-setengah negeri, penubuhan pengakap dilakukan oleh pegawai dan pendidik tempatan seperti penubuhan pengakap Kelantan dilakukan oleh pelajar-pelajar ‘ Kelas Malam’ anjuran Majlis Agama Islam di Sekolah Inggeris Kota Bharu.

Sebelum merdeka, pergerakan pengakap di Malaysia merupakan satu cawangan daripada Persekutuan Budak – budak Pengakap Great Britain dan dikenali sebagai Persekutuan Budak – budak Pengakap Kawasan Malaya, termasuk Singapura dengan tiap – tiap negeri sebagai satu daerah pengakap. Sabah dan Sarawak turut menjadi cawangan – cawangan Persekutuan Budak – budak Pengakap Great Britain kemudiannya.

Selepas Perang Dunia Kedua, Pergerakan pengakap telah disusun semula dan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah menjadi dua cawangan yang berasingan daripada Persekutuan Budak – budak Pengakap Great Britain. Tiap – tiap satunya ada persekutuan negeri dibahagikan kepada beberapa daerah pengakap yang mempunyai persekutuan – persekutuan tempatan masing – masing. Persekutuan tersebut, dikenali sebagai Persekutuan Budak – budak Pengakap Persekutuan Tanah Melayu (PBPPTM). PBPPTM telah menjadi satu badan bebas dan berasingan serta menjadi ahli penuh kepada Persidangan Pengakap Sedunia (dahulunya dikenali sebagai Persidangan Pengakap Antarabangsa) pada 1 September 1957.  

Malaysia yang terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta Singapura telah wujud pada 16 September 1963. Dengan wujudnya Malaysia sebagai sebuah Negara yang bebas dan berdaulat, Persekutuan – persekutuan Budak – budak Pengakap Sabah, Sarawak dan Singapura dengan sendirinya gugur taraf masing – masing sebagai cawangan – cawangan Persekutuan Budak – budak Pengakap Great Britain.

Dalam bulan November 1964, Persekutuan Budak – budak Pengakap Malaysia ( PBPM) atau kemudiannya dikenali sebagai Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) telah ditubuhkan yang mengandungi Persekutuan – persekutuan Budak – budak Pengakap Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persekutuan Budak – budak Pengakap Singapura kemudiannya berhenti daripada Malaysia pada bulan Ogos 1965. PPM terdiri daripada 14 buah Majlis Pengakap Negeri , iaitu Johor, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melak, Pulau Pinang, Perlis, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan.

 

PENUBUHAN PERGERAKAN

Tidak seperti pertubuhan- pertubuhan lain, PPM adalah tertakluk di bawah Akta Parlimen No. 38 Tahun 1968 dengan pindaan Undang – undang Malaysia Akta 143, Akta Persekutuan Pengakap Malaysia 1974. Akta 409, Tahun 1989 ( Kaji Semak ) :

Maka inilah diperbuat Undang – undang oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen dan dengan kuasa daripadanya seperti berikut :

  1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Persekutuan Pengakap Malaysia 1974.
  2. (I) Persekutuan Budak – budak Pengakap Malaysia yang diperbadankan di bawah Seksyen 3(1) Akta (Perbadanan) Persekutuan Budak – budak Pengakap Malaysia, 1968. (Kemudian daripada ini disebut ‘persekutuan’itu) hendaklah selepas akta ini berkuatkuasa dikenali sebagai Persekutuan Pengakap Malaysia dan semua sebutan di dalam akta itu dan mana – mana undang – undang bertulis lain mengenai persekutuan itu hendaklah ditafsirkan sewajarnya.

 

PENTADBIRAN PERSEKUTUAN

Mengikut perlembagaan, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) ditubuhkan mengandungi pucuk pimpinan terdiri daripada Penaung Baginda Yang di-Pertuan Agong; dan penaung – penaung terdiri daripada Duli- duli Yang Maha Mulia Raja – raja dan Sultan Perak, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, dan Tuan – tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri – negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik salah seorang daripada menteri cabinet bagi memegang jawatan Ketua Pengakap Negara, yang juga sebagai Yang Dipertua, Majlis Pengakap Malaysia (MPM) dalam tempoh lima tahun. Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, enam orang menteri telah dilantik menjadi Ketua Pengakap Negara, mereka ialah

  1. Allahyarham Dato’ Sulaiman Dato’ Abdul Rahman.
  2. Allahyarham Datuk Abdul Rahman Talib.
  3. Allahyarham Tan Sri Datuk Haji Sardon Haji Jubir.
  4. Tan Sri Datuk Haji Mohamed bin Yaacob.
  5. YB Datuk Dr. Sulaiman Haji Daud.
  6. Tan Sri Dato’ Seri Paduka Dr. Hj Shafie bin Hj Mohd Salleh

Kuasa tertinggi persekutuan ialah MPM yang bersidang dua tahun sekali bagi menentukan dasar – dasar persekutuan dan menubuhkan jawatankuasa kerja bagi menjalankan dasar dan kegiatan atau aktiviti persekutuan ini. Keahlian majlis ialah seramai 83 orang dan keahlian jawatankuasa kerja seramai 49 orang. Semua keahlian MPM melainkan Yang Dipertua adalah dilantik semasa mesyuarat agung dua tahunan.

Jawatankuasa kerja bermesyuarat tiga bulan sekali. Bagi menentukan kejayaan perlaksanaan aktiviti – aktiviti, beberapa jawatankuasa kecil ditubuhkan  untuk melaksanakan aktiviti tersebut. Ahli – ahli jawatankuasa MPM terdiri daripada Yang Dipertua, iaitu Ketua Pengakap Negara dan mereka yang disenaraikan seperti berikut :

  1. Ahli-ahli rasmi

Naib Yang Dipertua

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara

Penolong – penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara

Pesuruhjaya Antarabangsa

Penolong – penolong Pesuruhjaya Antarabangsa

Pesuruhjaya Latihan Negara

Semua Pesuruhjaya Negeri

Semua Setiausaha Majlis Pengakap Negeri

Eksekutif Latihan Negara

Pengelola Latihan Negara

Pengelola Persaudaraan BP

Bendahari Majlis Pengakap Malaysia

Ketua Setiausaha Majlis Pengakap Malaysia

  1. Ahli-ahli yang dilantik

Seorang ahli biasa daripada tiap – tiap Majlis Pengakap Negeri yang dipilih oleh Majlis Pengakap Negeri.

Seorang ahli yang dilantik oleh menteri Kerajaan Pusat yang bertanggungjawab dengan kewangan.

Seorang ahli yang dilantik oleh menteri Kerajaan Pusat yang bertanggungjawab dengan pendidikan.

  1. Ahli – ahli yang dipilih

Tidak lebih daripada 20 orang dipilih dari semasa ke semasa oleh MPM di mesyuarat dua tahunannya menjadi ahli- ahli untuk selama tidak lebih daripada dua tahun mulai tarikh pencalonan mereka. Majlis ini bermesyuarat dua tahun sekali..

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara

Mejar Jeneral (B) Prof. Dato’ Dr. Mohd Zin Bin Bidin

PENTADBIRAN PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA

Pusat pentadbiran bagi PPM bertempat di rumah BP, Jalan Hang Jebat, 50550 Kuala Lumpur. Di sinilah segala pentadbiran dan pengurusan dengan Majlis Pengakap Negeri dan Persekutuan Pengakap Tempatan ataupun perhubungan di peringkat antarabangsa diuruskan. Perhubungan di antara PPM dengan Biro Pengakap Sedunia di Kuala Lumpur dan juga dengan Cawangan Biro Pengakap Sedunia bagi kawasan Asia Pasifik di Manila berjalan  dengan baik. Dalam usaha merapatkan perhubungan antarabangsa, PPM tidak ketinggalan mengirimkan ahli-ahlinyake persidangan-persidangan dan jambori – jambori di peringkat dunia dan di peringkat kawasan Asia Pasifik serta kebangsaan. PPM juga mengundang pengakap dari Negara lain untuk menyertai jambori-jambori yang diadakan di Malaysia.

PERTUBUHAN NEGERI

Kawasan negeri yang berkenaan dengan kawasan pengakap biasanya ditentukan mengikut sempadan negeri-negeri, tetapi jika dikehendaki atas keperluan kumpulan-kumpulan yang terlibat, sempadan kawasan pengakap boleh diubah dengan persetujuan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Pengakap Negeri yang berkenaan setelah berunding dengan Pesuruhjaya Pengakap Negara.

Struktur Majlis Pengakap Negeri seperti juga dengan struktur di peringat kebangsaan. Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri dilantik oleh Ketua Pengakap Negara atau Yang Dipertua Pengakap Malaysia, untuk berkhidmat selama dua tahun.

Pada peringkat negeri, pengakap ditadbir oleh Majlis Pengakap Negeri dan diketuai oleh Pesuruhjaya Negeri yang dilantik oleh ibu pejabat. Keahlian dan pentadbirannya adalah mengikut undang – undang yang diciptakan khas baginya dengan berpandukan kepada contoh – contoh undang – undang yang disediakan oleh ibu pejabat.

            Majlis Pengakap Ngeri juga mempunyai jawatankuasa kerja yang menjalankan tugas-tugas majlis. Jawatankuasa kerja ini boleh menubuhkan beberapa jawatankuasa kecil untuk menjalankan tugas-tugas seperti kewangan, latihan, perhubungan dan lain – lain.

 

 

PERTUBUHAN DAERAH

Daripada peringkat negeri diwujudkan pula peringkat daerah atau daerah pengakap, tiap- tiap satunya dalam jagaan seorang Pesuruhjaya Daerah dengn satu atau lebih Persekutuan Pengakap Tempatan. Saiz dan sempadan –sempadan daerah ini adalah diuruskan oleh Pesuruhjaya Negeri atas rundingan daripada ibu pejabat PPM. Pesuruhjaya- pesuruhjaya Daerah adalah dilantik oleh ibu pejabat PPM.

             Pesuruhjaya Daerah bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Negeri dan ibu pejabat PPM bagi kebajikan, kemajuan pergerakan dan bagi mengekalkan perlembagaan dan peraturan persekutuan. Seperti di peringkat negeri, Persekutuan Pengakap Tempatan juga tertakluk kepada peraturan dan undang – undang kecil dan digubal khas berpandukan contoh yang disediakan oleh ibu pejabat.

PERINGKAT KUMPULAN

Peringkat kumpulan dianggap sangat penting untuk memajukan ahli-ahli, dan kumpulan inilah menentukan hasrat pergerakan secara keseluruhan sama ada tercapai atau sebaliknya. Di kumpulan selain daripada kuasa penganjur (guru besar) dan pemimpin, jawatankuasa kumpulan sangat penting bagi melicinkan perjalanan kumpulan. Pemimpin hendaklah membentuk jawatankuasa kumpulan dan perlu mendapat kerjasama dan sokongan yang erat daripada ibu bapa kepada pengakap. Tugas – tugas kumpulan boleh diaturkan oleh pemimpin.

KUMPULAN LATIHAN MALAYSIA

Kumpulan ini ditubuhkan di maktab- maktab perguruan. Keahlian Kumpulan Latihan Malaysia (KLM) adalah terdiri daripada guru- guru pelatih. KLM diwujudkan untuk melatih bakal- bakal pemimpin yang terdiri daripada guru – guru pelatih. Kumpulan ini diketuai oleh Pesuruhjaya KLM. Sehingga sekarang terdapat 28 KLM di maktab – maktab perguruan di seluruh Negara.

KUMPULAN LATIHAN KELANASISWA MALAYSIA

Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia atau nama ringkasnya KLKM adalah terdiri daripada gabungan kumpulan – kumpulan pengakap Kelana yang ditubuhkan diinstitut pengajian tinggi di Malaysia. Ia bertaraf sebagai sebuah negeri di bawah Persekutuan Pengakap Malaysia.

PENUBUHAN UNIT – UNIT

Pergerakan pengakap merupakan satu pertubuhan sukarela yang sesuai dengan semua peringkat umur dan keadaan masyarakat, kerana skim latihannya diubahsuai berlandaskan kepada unit – unit pengakap. Unit- unit pengakap yang ditubuhkan  dalam Negara kita adalah seperti berikut :

  1. Pengakap Kanak – kanak – berumur antara 8 tahun hingga 12tahun.
  2. Pengakap Muda – 13tahun hingga 15tahun.
  3. Pengakap Remaja – 16tahun hingga 18tahun.
  4. Pengakap Kelana – 18tahun hingga 25tahun.
  5. Pengakap Laut – Terbuka untuk semua unit tetapi dikelaskan peringkat umur seperti Pengakap Muda Laut, Pengakap Remaja Laut dan juga Pengakap Kelana Laut. Skim latihan berdasarkan ilmu pelayaran dan juga kemahiran berpengakap.
  6. Pengakap Udara – Terbuka untuk semua unit tetapi dikelaskan peringkat umur seperti Pengakap Muda Udara, Pengakap Remaja Udara dan juga Pengakap Kelana Udara. Skim latihan berdasarkan ilmu aeroangkasa dan juga ilmu berpengakap.
  7. Pemimpin Pengakap – orang dewasa yang menerima latihan sehingga pemimpin untuk memimpin unit – unit di atas.
  8. Persaudaraan BP.- setelah mencapai umur 26 tahun keatas tetapi masih berminat dalam aktiviti berpengakap.

Post navigation